CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

11 April 2013

SITUASI 10: Dimana Kelembutanmu Duhai Gadis?


Tiba-tiba seorang gadis meluru masuk ke dalam lif yang hampir tertutup pintunya. Wajahnya nampak tegang sekali. Cuma saya dan dia yang ada di dalam lif pada ketika itu. Saya tidak cuba beramah dengannya memandangkan moodnya yang kelihatan agak bergelora. Saya diam. Dia juga diam. Tiba- tiba telefon bimbitnya menyanyikan lagu rancak, lalu gadis itu menekan punat ‘off’ menandakan dia tidak mahu menjawab panggilan itu. Saya pura-pura tidak ambil tahu. Si pemanggil nampaknya masih tidak berputus asa. Telefon gadis itu berdering lagi. Hal yang sama juga dilakukan. Telefonnya berdering lagi, lalu disambutnya:

“ Pergi mampus la ko jantan. Ko ingat aku hadap sangat dengan ko tu. Pergi jahanam la sial. Kalo ko nak sangat kat betina tu, ko pergilah. Aku tak rugi satu sen pon sial”, gadis itu menengking tanpa segan silu. Kemudian dia terus menekan punat ‘off’. Wajahnya garang.

Saya agak tersentak, tapi saya buat selamba. Bimbang gadis tersebut mengesan perubahan riak wajah saya. Ternyata benar telahan saya. Gadis tersebut sedang berkonflik dengan kekasihnya.

Pintu lif terbuka pada aras 7. Gadis tersebut keluar dengan perasaan yang berkecamuk. Saya geleng kepala. Bukan kepalang amarah gadis itu. Terlalu kasar kata-kata yang dihamburkan kepada kekasihnya. Tiba-tiba saya terus teringat pada sekeping gambar ini:



Bicara saya:

Perkataan seperti jantan, betina dan pergi mampus amatlah kasar diungkapkan kepada manusia lain. Perkataan tersebut hanya sesuai digunakan untuk merujuk kepada binatang. Jangalah kerana amarah, kita hilang kesantunan dan kesopanan dalam berbahasa. Jika waktu bercinta, kita mampu mengungkapkan kata-kata yang manis dan lembut, mengapa sekelip mata sahaja kita mudah melupakan kelembutan kata-kata itu sewaktu berlakunya konflik. Tinggi manapun api kemarahan, janganlah sampai memaki hamun dan mengherdik. Masyarakat Melayu kaya dengan nilai budi bahasa terutama sekali golongan hawa. Jangan sampai hilang kelembutan dan keayuan kita sebagai wanita dek sepatah kata yang kita ungkapkan.


No comments:

Post a Comment