CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

07 March 2013

SITUASI 1: Budu dan Char Kuew Teaw


Saya tergelak kecil apabila membaca satu mesej lawak daripada seorang sahabat yang dikirimkan melalui sistem pesanan ringkas pada petang itu. Sedikit sebanyak mesej tersebut menghilangkan rasa mengantuk yang menyapa diri pada ketika itu. Begini mesejnya:

Timbul persoalan, loghat daerah manakah yang lebih munasabah di antara loghat utara dengan loghat pantai timur?

Jawapannya:  Loghat pantai timur iaitu loghat Kelantan lebih munasabah.

Bahasa Melayu standard:
"Dia pergi ke rumah jiran untuk mencari emaknya tetapi setelah sampai di situ didapati emaknya tiada."

Loghat utara (Kedah):
" Dia pi ghumah jiran nak caghi mak dia, pi pi mak dia tak dak."

Loghat pantai timur (Kelantan):
"Dia gi ghumoh jire nok caghi mek dio, gi gi mek dio tak dok."

Kesimpulannya: Tak mungkin 'pipi' emaknya tiada kan, tetapi kalau 'gigi' emaknya yang tidak ada, memang munasabahlah!

Bicara saya:

Setiap negeri mempunyai dialek yang berbeza. Perbezaan dialek atau loghat ini melambangkan identiti rakyat negeri tersebut. Kita meraikan perbezaan dialek yang wujud kerana setiap dialek mempunyai keunikannya yang tersendiri. Walaubagaimanapun, perbezaan dialek ini akan menjadi satu masalah kepada interaksi dalam konteks sosial yang berbeza. Misalnya, apabila individu A (orang Kelantan) berkomunikasi dengan individu B (orang Johor) dengan menggunakan dialek Kelantan, sudah tentu individu B sukar memahami perkara yang hendak disampaikan oleh individu A tersebut. Sepatutnya, bahasa Melayu standard perlu digunakan dalam komunikasi tersebut agar kedua-dua belah pihak dapat memahami setiap isi perbualan.







No comments:

Post a Comment