CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

18 April 2013

Alhamdulillah





Alhamdulillah dengan izinNya, saya dapat menyiapkan tugasan individu bagi subjek SosiolinguistikBahasa Melayu ini. Lafaz syukur  dipanjatkan kepadaMu Ya Allah kerana memberi ruang masa, tenaga dan ilham untuk menyiapkan tugasan ini. Ucapan terima kasih saya tujukan buat pensyarah kursus, Dr Siti Saniah binti Abu Bakar di atas tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan. Segala kesilapan yang terdapat dalam tugasan ini mohon dimaafkan. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan di atas  sokongan dan ilham yang diberikan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. 

SEKIAN, TERIMA KASIH

SITUASI 25: Evolusi Bahasa Remaja



Ber’muka buku’ menjadi satu rutin pada setiap hari. Hari ini saya menyemak senarai rakan muka buku saya. Kadangkala rakan-rakan di muka buku ini bukanlah orang yang saya kenal tetapi memandangkan mereka meminta untuk menjadi rakan, saya terima sahaja. Rakan-rakan muka buku saya bukan sahaja dalam kalangan sebaya dengan saya, malah ada juga kalangan pelajar-pelajar sekolah yang pernah saya berpraktikal suatu masa dulu. Kadangkala kewujudan pelajar-pelajar ini merimaskan saya dek status-status cinta mereka di muka buku. Loya tekak membaca setiap ungkapan cinta mereka dengan evolusi bahasa yang merapu-rapu. Saya terfikir, tidakkah mereka merasa segan dengan status-status yang ditulis di muka buku itu sedangkan mereka tahu guru-guru mereka juga termasuk  dalam kalangan rakan muka buku mereka. Tanpa berfikir panjang, saya ‘meremove’ rakan muka buku yang saya rasa keterlaluan sikapnya apabila berada di alam maya.

Mari kita lihat beberapa evolusi bahasa yang biasa digunakan mereka di facebook.

Dahulu,

Sayang,
Awak dah makan?
Makan apa?Sedap tak?
Makan nasi?
Hari ni tak pergi mana-mana ke?Nak pergi KL?
Nak ikut.
Tak boleh?
Nak merajuklah macam ni.
Awak jahat!

Sekarang,

Cayam,
Da mamam lom?
Mamam apa jew?Dap x?
Mamam nacik?
Hari ni x p ane-ane kew? Nak p KL?
Nak itot.
Tak ley?
Majokla cenggini..werrkkk
Mucuk jaat!


Makan = mamam
Masam = masyam
Benci = menci
Sayang = cayam
Busuk = mucuk
Suka = syukew
Nasi = nacik
Merajuk = majok
Macam ini = cenggini
Ikut = itot
Tak boleh = tak ley
Terima kasih = maceh






Bicara saya:

Remaja kita pada hari ini dilihat sangat kreatif dalam mengevolusikan bahasa terutamanya bahasa Melayu. Malangnya kekreatifan mereka ini sebenarnya menjahanamkan bahasa melayu itu sendiri. Benar, salah satu sifat bahasa ialah dinamik  iaitu berubah-ubah tetapi bukan perubahan sebegini yang dimaksudkan. Sebenarnya bahasa-bahasa seperti ini bukan sahaja merosakkan bahasa Melayu, tetapi ia juga memperlihatkan batasan pergaulan sosial berlawanan jantina semakin menipis. Remaja sekarang tanpa segan silu mempamerkan kemesraan mereka terutamanya di alam maya  tanpa mengambilkira persepsi masyarakat sekeliling.


h

SITUASI 24: Betulkan yang Biasa, Biasakan yang Betul



Hari ini saya bangun dari tidur agak lewat. Usai solat Subuh, saya menyambung tidur memandangkan rasa mengantuk masih berbaki. Lena saya terganggu apabila sang suria mula menampakkan cahayanya melalui celahan-celahan cermin nako yang tidak tertutup rapat. Saya bangun membersihkan diri. Kemudian saya duduk menghadap laptop untuk meneruskan tugasan yang masih belum selesai. Seperti kebiasaannya, saya akan bersarapan dengan ‘muka buku’ terlebih dahulu. Kononnya hendak mencari ‘mood’ untuk membuat tugasan. Saya membalas beberapa komen sahabat-sahabat. Kemudian saya tekan butang ‘home’ untuk melihat aktiviti-aktiviti sahabat-sahabat muka buku saya yang lain. Saya tertarik dengan satu gambar yang dikongsi oleh seorang sahabat. Ini gambarnya:



Baik, hari ini saya akan bercerita tentang itu. Jika di Kelantan, kami sudah terbiasa menggunakan istilah pisang goreng (pise goreng). Saya tetap menggunakan istilah tersebut walaupun berada di negeri lain. Ikuti dialog berikut:

“Pak Cik, saya nak goreng pisang”, pinta saya kepada peniaga tersebut.

“Kamu nak tolong pak cik goreng pisang ke?” soalnya.

“Eh taklah, saya nak beli goreng pisang ni dua ringgit”, jawab saya dengan ramah.

“Oooo nak beli pisang goreng”, pak cik tersebut mulai faham. Saya hanya mengangguk.

“Kenapa kamu sebut  goreng pisang bukan pisang goreng?”, tanya pak cik itu sambil menghulurkan pisang goreng tersebut kepada saya.

“Dah terbiasa la pak cik. Kat Kelantan kami sebut goreng pisang bukan pisang goreng”,jawab saya.

“Oh patutlah, orang Kelantan rupanya”, balasnya.

“Hehe..ini duitnya pak cik”, saya menghulurkan dua kepaing not seringgit.

“Terima kasih”, jawabnya sambil mengambil duit yang say hulurkan.

“Sama-sama”, saya membalas ucapan terima kasihnya lalu beredar dari situ.

Bicara saya:                

Situasi tersebut membuatkan saya terfikir, perlu untuk saya membiasakan perkara yang betul. Saya perlu mengubah tabiat penyebutan saya agar orang lain dapat memahami sebutan saya. Pengaruh sebutan atau dialek negeri memang tidak dapat dielakkan memandangkan saya membesar dengan suasana persekitaran yang begitu. Walaubagaimanapun, tidak salah untuk saya cuba memperbetulkan apa yang salah. Pisang goreng dan goreng pisang sangat berbeza maksudnya. Pisang goreng merujuk kepada pisang yang telah digoreng, manakala goreng pisang merujuk kepada perlakuan atau perbuatan menggoreng pisang. Berdasarkan situasi di atas, amat wajar bagi saya menyebut pisang goreng bukannya goreng pisang.

“BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL”


15 April 2013

SITUASI 23: Duniaku Dahulu Bukan Dunia Mereka Lagi


“Petang ni pergi joging nak?” ajak Ema kepada saya melalui SMS.

“Boleh je kalau tak hujan?’ balas saya ringkas.

Begitulah kami, sejak kebelakangan ini rajin pula kami beriadah pada waktu petang. Al maklumlah jadual kuliah siswi semester akhir tidak sepadat jadual semester-semeter terdahulu. Jumlah kuliah yang perlu dihadiri hanya boleh dibilang dengan jari, itupun kadang-kadang kuliah banyak dibatalkan.

Memandangkan cuaca baik, kami berjoging juga pada petang itu. Angin petang lembut membelai pipi. Terasa nyaman. Setelah berjoging tiga pusingan, kami berjalan pula. Kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang berkejar-kejaran tidak jauh dari tempat kami berjalan. Seronok melihat gelagat mereka. Jika boleh diputarkan waktu, terasa ingin kembali ke zaman yang penuh nostalgia ini.  Zaman menjadi kanak-kanak sangat indah, mudah memaafkan jika bersalah, rajuk pun cuma seketika dan kembali bermain semula walaupun dimarahi. Indahnya zaman ini, jauh lebih tenang berbanding zaman dewasa yang ternyata lebih rumit. Walaubagaimanapun, itulah hukum alam.

“Budak-budak sekarang dah jarang nak main permainan tradisional seperti kita dulu kan”, tiba-tiba Ema bersuara.

“Yelah Ema, mereka kan hidup dalam dunia globalisasi. Permainan mereka pon seiring zaman la. Kalau ada yang bermain permainan tradisional pun, cuma kanak-kanak di kampung-kampung. Itupon dah semakin berkurang. Mereka pun dah terdedah dengan permainan canggih seperti ‘playstation’, ‘angry bird’ dan lain-lain,” jawab saya dengan panjang lebar.

“Emm, permainan macam tu tak mengehadkan pergaulan mereka dengan kanak-kanak lain. Tergadailah dunia kanak-kanak mereka,” luah Ema dengan nada yang sedikit kesal.

“Apa boleh buat, kemodenan mengatasi segalanya,” saya membuat konklusi.

Mari kita bandingkan permainan kanak-kanak dahulu dengan permainan kanak-kanak sekarang:

Dahulu

Ketenteng

Sembunyi-sembunyi

Lompat guni

Baling tin


Sekarang

Playstation

Angry Birds

Pc game

Bicara saya:

Merenung kembali zaman kanak-kanak membuatkan saya tersenyum sendiri. Keindahan dan keseronokan zaman yang penuh nostalgia ini ternyata amat berbeza dengan kehidupan kanak-kanak di zaman ini. Kebanyakan mereka hidup dalam serba lengkap, seiring dengan teknologi yang semakin pesat berkembang. Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa kepesatan teknologi kini seolah-olah telah meragut  dunia kanak-kanak mereka. Jika dahulu, kita lihat kanak-kanak membesar dengan persekitaran di sekeliling mereka tanpa rasa takut. Misalnya, mereka bermain bersama-sama jiran-jiran yang sebaya di luar rumah dengan penuh kegembiraan. Gelak tawa mereka sentiasa mewarnai dunia kanak-kanak mereka. Interaksi sosial lebih mereka lebih menonjol berbanding kanak-kanak pada zaman ini. Sejak kecil lagi, kanak-kanak zaman ini sudah disajikan dengan gajet-gajet terkini. Mereka akan lebih cenderung untuk  terperuk di dalam rumah daripada keluar bermain di luar rumah. Dunia mereka seolah-olah terkurung kerana mereka lebih leka dengan sajian-sajian yang canggih ini. Hal ini  mengehadkan pergaulan mereka dengan kanak-kanak lain sekaligus  mengurangkan interaksi sosial secara lisan sesama mereka. 




14 April 2013

SITUASI 22: Sistem Panggilan Kekeluargaan



Kerinduaan kepada anak-anak saudara menyapa diri, lalu saya buka fail gambar keluarga yang ada di dalam komputer riba milik saya. Tersenyum melihat aksi-aksi mereka bergambar. Kerinduan sedikit terubat. Ini antara gambar mereka:



Tiba-tiba rakan sebilik menyapa, “gambar siapa tu? Comelnya”.

“Gambar anak-anak saudara saya”, saya menjawab sambil tersenyum.

“Mereka panggil awak apa?” dia bertanya.

“ Cik  Ti”, balas saya ringkas.

“Cik Ti? Kenapa tak panggil Mak cik Ti?”, dia menyoal lagi.

“Sebab saya kan muda lagi. Kalau panggil Mak cik Ti, nampak macam tua pula”, saya menjawab sambil ketawa. Dia juga ketawa mendengar alasan saya.

Bicara saya:

Panggilan seperti Cik Ti atau Mak cik Ti merupakan salah satu contoh sistem panggilan dalam kekeluargaan. Kata panggilan ini menggantikan nama yang digunakan kepada manusia dengan penentuan gender, rujukan dan kedudukan keluarga. Kata panggilan keluarga dalam masyarakat Melayu mempunyai beberapa sistem tertentu. Pemilihan sesuatu sistem untuk diamalkan dalam sesebuah kelurga bukanlah sesuatu yang tegar dan mesti. Setiap keluarga  mempunyai cara tersendiri dalam menentukan sistem panggilan yang hendak digunakan. Sistem panggilan yang digunakan bukan sahaja bertujuan untuk membezakan urutan anak-anak, malah secara tidak langsung  memupuk perasaan hormat kepada yang lebih tua dan perasaan sayang kepada yang lebih muda.



SITUASI 21: Errr...Nak Panggil Apa?


“Assalamualaikum cikgu”.

Assalamualaikum ustazah”.

“Selamat pagi cikgu”.

Jika dahulu saya yang melafazkan ucapan salam itu setiap kali berselisih dengan guru di sekolah, tetapi kali ini saya berpeluang menerima ucapan itu daripada murid-murid. Itu pengalaman ketika menjalani Latihan Mengajar di sebuah sekolah.

Baik, kali ini saya ingin bercakap tentang kata panggilan. Ketika berada di zaman sekolah dahulu mungkin tidak ada sebarang masalah untuk menyapa atau mengucapkan salam kepada guru-guru. Hal ini kerana walaupun guru tersebut berpangkat Pengetua,Penolong Kanan mahupun guru biasa sekalipun, murid-murid tetap menyapa mereka dengan panggilan ‘cikgu’. Berbeza pula dengan situasi di universiti, mahasiswa atau mahasiswi tidak akan menggelarkan pensyarah mereka dengan panggila ‘guru’ walaupun pada hakikatnya pensyarah juga merupakan golongan pendidik.

Kebanyakan pensyarah di universiti mempunyai pangkat dan gelaran ikhtisas yang tertentu. Misalnya berpangkat Profesor Madya, Profesor, Dr dan lain-lain. Hal ini akan menimbulkan konflik dalam diri mahasiswa/i ketika berselisih dengan pensyarah-pensyarah di universiti terutamnya pensayarah yang tidak dikenali. Mereka akan teragak-agak untuk menentukan kata panggilan yang sesuai dengan pensyarah tersebut. Jika salah, bimbang dimarahi. Saya pernah menghadapi situasi ini ketika saya berselisih dengan seorang pensyarah di tangga fakulti. 

“Assalamualaikum Dr”, kata saya teragak-agak. Bimbang juga jika beliau berpangkat Profesor. Maklumlah saya tidak pernah mengenalinya.

“Waalaikummussalam”, dia menjawab salam sambil tersenyum. Saya lega.

Kemudian saya melihat ada pelajar lain bertembung dan berborak-borak dengannya seketika. Barangkali pelajarnya. Mereka tampak ramah berborak. Pelajar tersebut memanggil pensyarah tersebut dengan panggila Profesor. Oh, saya tersilap memberi gelaran. Nasib baik pensyarah tersebut tidak ambil kisah.

Bicara saya:

Kata sapaan atau panggilan seharusnya sesuai dengan situasi dan tempat kita berada. Kita harus mengambilkira pangkat dan kedudukan seseorang yang disapa itu  jika kita mengetahuinya. Hal ini perlu sebagai penghormatan dan penghargaan kepada orang yang disapa. Misalnya, pensyarah yang berpangkat Profesor atau Dr akan merasa usaha dan penat lelahnya yang bertahun-tahun itu tidak dihargai jika kita memanggilnya dengan panggilan biasa. Kita perlu ingat, sikap dan ragam manusia ini tidak sama. Jika pensyarah itu tidak menjadikan soal ini sebagai satu keutamaan, itu tidak menjadi sebarang masalah. Tetapi jika sebaliknya, pasti timbul ketidakpuashatian. Oleh hal demikian, setiap orang perlu ada sifat tolak ansur dalam berdepan pelbagai situasi dalam masyarakat.













13 April 2013

SITUASI 20: Setia Tidak Bermakna Benci


Saya duduk di bangku itu sambil meninjau-ninjau keadaan sekeliling.. Suasana di stesen bas itu agak lengang. Kelihatan hanya beberapa orang manusia yang duduk menunggu bas. Tidak jauh dari tempat saya duduk, ada seorang gadis yang bertuduh labuh sedang membaca majalah Al Islam. Sejuk mata memandangnya. Tanpa disedari, ada satu susuk badan sedang berdiri di sebelah saya. Saya memandangnya dengan riak sedikit terkejut.

“Hi, can u help me”, pelancong asing itu menyapa.

“Yes, I will”, jawab saya dengan yakin.

“You know this place? Can you give me direction  to go there”, dia bertanya lagi sambil menunjukkan gambar Pasar Siti Khadijah. Pasar itu terkenal di Kelantan.

Alamak. Saya telan air liur. Saya faham pertanyaannya tetapi untuk menjawab dalam bahasa Inggeris memerlukan saya menyelak kamus terlebih dahulu, maklumlah SPM hanya dapat gred C dalam subjek ini. Saya garu kepala yang tidak gatal. Saya pandang gadis bertudung labuh yang duduk tidak jauh dari saya itu. Pandangan yang meraih pertolongan. Dia seakan-akan mengerti lalu dia bangun menghampiri kami.

“May I help you sir”,gadis itu bertanya.

Mereka kemudiannya saling berdialog. Lancar sungguh gadis itu bercakap dalam bahasa Inggeris. Saya kagum. Saya yang hanya menjadi pendengar setia sejak dari tadi tersedar apabila pelancong asing itu turut mengucapkan terima kasih kepada saya. Saya hanya mengangguk. Kemudian saya menghulurkan tangan kepada gadis yang membantu saya itu sebagai tanda terima kasih. Dia menyambut tangan saya. Kami berkenalan antara satu sama lain sehinggalah bas tiba.

Bicara saya:

Benar kita perlu mempertahankan kedudukan bahasa Melayu kita agar tidak terpinggir. Walaubagaimanapun, tidak menjadi satu kesalahan untuk kita mempelajari bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris. Penguasaan dalam bahasa lain akan menjadi nilai tambah kepada kita. Kedudukan bahasa kebangsaan kita tidak akan tergugat sekiranya kita bersama-sama menjaganya. Kesetiaan kita kepada bahasa kita tidak bermakna kita benci kepada bahasa lain.