Pada
pagi tadi saya dan beberapa orang rakan telah pergi ke sebuah sekolah di hulu
Selangor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Gedangsa. Tujuannya ialah untuk
menjalankan soal selidik berkaitan kesantunan berbahasa yang menjadi fokus
kajian projek tahun akhir kami. Borang soal selidik merupakan salah satu
instrument yang digunakan dalam kajian ini. Kajian ini bertumpu kepada
kesantunan bahasa dalam kalangan tingkatan dua.
Semasa di sana, kami terserempak
dengan seorang guru yang kami kenal. Beliau pernah menjadi tutor dalam subjek
Wacana Akademik Bahasa Melayu yang kami ambil pada semester 6. Kami
teragak-agak untuk menegurnya. Akhirnya kami buat-buat tidak mengenali beliau
semasa bertembung dengannya di kantin. Sebelum menjalankan soal selidik
tersebut, kami berjumpa dengan pengetua, kemudian pengetua mengarahkan kami
supaya berurusan dengan Ketua Bidang Bahasa di sekolah tersebut iaitu En. Rodzi
Selamat. Kami sedikit terkejut apabila nama En. Rodzi disebut kerana dia
merupakan bekas tutor kami dahulu. Akhirnya kami terpaksa juga bertentang mata
dengan beliau.
En Rodzi meminta kami menunggu
beliau di pusat sumber sekolah. Kami akur, dalam masa yang sama kami berasa
sedikit gugup untuk bertemu beliau. Setelah beberapa minit menunggu, En. Rodzi
muncul dan menyapa kami dengan ramah. Kami berbincang mengenai tujuan kehadiran
kami di sekolah itu. Perasaan lega bertamu kerana kami pasti En.Rodzi tidak
mengenali kami. Setelah perbincangan
hamper selesai, tiba-tiba En. Rodzi bersuara:
“Saya
pernah jumpa kamu sebelum ini?”
Kami
diam. Setelah beberapa saat soalan tersebut tergantung tanpa jawapan, akhirnya
saya mengaku, “Sebenarnya kami pernah belajar dengan En Rodzi dalam subjek
Wacana Akademik Bahasa Melayu semasa di semester enam dahulu”. Teragak-agak
saya menyusun bicara.
Saya
lihat En. Rodzi tersenyum sinis. “Saya dah agak. Saya tunggu juga kamu semua
menegur saya semasa kita terserempak di kantin tadi”.
Kami
telan air liur. Perasaan bersalah menghempap diri.
“Kami
minta maaflah En. Rodzi, kami segan dan takut nak tegur tadi,” pinta saya
sambil tersenyum kambing, menutup rasa malu yang membelenggu diri.
En.
Rodzi tergelak kecil sambil berseloroh, “bagus juga kamu buat projek tahun
akhir berkaitan kesantunan bahasa ni, nanti kamu boleh mengaplikasikannya kelak”.
Kami
terasa terpukul walaupun kami mengetahui kata-kata tersebut diucapkan dengan
nada berseloroh.
Bicara saya:
Masyarakat
Melayu khususnya kaya dengan budi bahasa. Budi bahasa ini meliputi pelbagai
aspek termasuklah semasa bertegur sapa dengan orang lain. Keramahan dalam
bertegur sapa tidak kira sama ada orang yang disapa itu dikenali atau tidak
akan mewujudkan hubungan sosial yang baik dan akrab. Islam juga amat
menggalakkan umatnya bertegur sapa antara satu sama lain. Amalan ini sepatutnya
menjadi budaya agar hubungan silatulrahim antara masyarakat itu dapat
dijalinkan dan dipereratkan. Bagi situasi di atas, amatlah tidak wajar bagi
saya dan rakan-rakan berkelakuan sedemikian sedangkan kami mengenali En. Rodzi,
malah beliau pernah menjadi guru kepada kami.
No comments:
Post a Comment