Hari ini saya bangun dari tidur agak lewat. Usai solat Subuh, saya menyambung tidur memandangkan rasa mengantuk masih berbaki. Lena saya terganggu apabila sang suria mula menampakkan cahayanya melalui celahan-celahan cermin nako yang tidak tertutup rapat. Saya bangun membersihkan diri. Kemudian saya duduk menghadap laptop untuk meneruskan tugasan yang masih belum selesai. Seperti kebiasaannya, saya akan bersarapan dengan ‘muka buku’ terlebih dahulu. Kononnya hendak mencari ‘mood’ untuk membuat tugasan. Saya membalas beberapa komen sahabat-sahabat. Kemudian saya tekan butang ‘home’ untuk melihat aktiviti-aktiviti sahabat-sahabat muka buku saya yang lain. Saya tertarik dengan satu gambar yang dikongsi oleh seorang sahabat. Ini gambarnya:
Baik, hari ini saya akan bercerita tentang itu. Jika di Kelantan, kami sudah terbiasa menggunakan istilah pisang goreng (pise goreng). Saya tetap menggunakan istilah tersebut walaupun berada di negeri lain. Ikuti dialog berikut:
“Pak Cik, saya nak goreng pisang”, pinta saya kepada peniaga tersebut.
“Kamu nak tolong pak cik goreng pisang ke?” soalnya.
“Eh taklah, saya nak beli goreng pisang ni dua ringgit”, jawab saya dengan ramah.
“Oooo nak beli pisang goreng”, pak cik tersebut mulai faham. Saya hanya mengangguk.
“Kenapa kamu sebut goreng pisang bukan pisang goreng?”, tanya pak cik itu sambil menghulurkan pisang goreng tersebut kepada saya.
“Dah terbiasa la pak cik. Kat Kelantan kami sebut goreng pisang bukan pisang goreng”,jawab saya.
“Oh patutlah, orang Kelantan rupanya”, balasnya.
“Hehe..ini duitnya pak cik”, saya menghulurkan dua kepaing not seringgit.
“Terima kasih”, jawabnya sambil mengambil duit yang say hulurkan.
“Sama-sama”, saya membalas ucapan terima kasihnya lalu beredar dari situ.
Bicara saya:
Situasi tersebut membuatkan saya terfikir, perlu untuk saya membiasakan perkara yang betul. Saya perlu mengubah tabiat penyebutan saya agar orang lain dapat memahami sebutan saya. Pengaruh sebutan atau dialek negeri memang tidak dapat dielakkan memandangkan saya membesar dengan suasana persekitaran yang begitu. Walaubagaimanapun, tidak salah untuk saya cuba memperbetulkan apa yang salah. Pisang goreng dan goreng pisang sangat berbeza maksudnya. Pisang goreng merujuk kepada pisang yang telah digoreng, manakala goreng pisang merujuk kepada perlakuan atau perbuatan menggoreng pisang. Berdasarkan situasi di atas, amat wajar bagi saya menyebut pisang goreng bukannya goreng pisang.
“BETULKAN YANG BIASA, BIASAKAN YANG BETUL”