CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

13 April 2013

SITUASI 19: Bahasa Menunjukkan Bangsa


Baik, situasi pada hari ini tidak ada kaitan dengan diri sendiri tetapi ada kaitannya dengan kehidupan bermasyarakat. Mari kita tonton video ini:



Apa pandangan anda tentang video tersebut? Sekiranya anda berada di tempat ‘Benggali’ tersebut, apa yang anda rasa? Marah, suka atau tiada perasaan? Jika saya yang berada di situ, saya pasti marah akan kebiadapan mereka. Pernah atau tidak anda mengalami situasi begitu dalam kehidupan anda? Jika pernah, adakah anda ingin perkara sedemikian terus berlaku? Ataupun anda yang berkelakuan sebegitu? Jika ya, mari sama-sama kita ubah.

Bicara saya:

Masyarakat Melayu terutamanya sangat terkenal dengan ketinggian adat dan kekayaan budi. Oleh itu, amatlah tidak wajar kita menconteng arang di muka masyarakat kita sendiri. Kita perlu menghormati orang lain walaupun berbeza bangsa dan agama sekalipun. Itulah identiti kita sebagai orang Melayu. Kita perlu mempamerkan kehalusan budi pekerti yang dimiliki sebagai seorang Melayu agar masyarakat lain tidak mudah memandang serong akan kekuatan yang kita miliki. Situasi di atas sangat memalukan kita. Sanggupkah kita digelar masyarakat Melayu yang tidak ada adat? Jika tidak sanggup, mari kita ubah. Jangan sebab nila setitik, habis rosak susu sebelanga. 

SITUASI 18: Akrab Persahabatan


Perut bernyanyi riang mengisyaratkan makanan-makan yang dimakan tengah hari tadi sudah dihadam sepenuhnya. Saya mengeluh. Kebelakangan ini mudah sahaja perut ini berasa lapar. Risau juga kilogram akan bertambah tetapi membayangkan keenakan makanan-makanan di Kedai Sahabat, saya buang kerisauan itu jauh-jauh. Saya mencapai telefon bimbit dengan serta merta, lalu saya kirimkan pesanan ringkas kepada dua orang sahabat saya. Pesanan ringkas itu berbeza bahasanya walaupun tujuannya sama.

SMS 1:
 “Salam…woit jom lepak kedai makan malam ni. Aku kebulur ni. Pukul 8.30 malam tau. Lambat aku makan ko..haha”.

SMS 2:
“Salam..nak makan tak malam ni? Jom. Pukul 8.30 ye”.

Baik, SMS 1 saya kirimkan kepada rakan saya yang bernama Ain, seorang gadis yang lincah dan suka menyakat.

SMS 2 pula saya kirimkan kepada rakan saya yang bernama Mira, seorang gadis yang lemah lembut dan ayu.

Gggggrr…ggggggrrrrrrr, telefon saya bergetar.Ada dua SMS yang masuk. Saya tekan punat ‘view’ untuk membaca isi kandungan SMS.

“Salam..beres tuan besar. Kalau kau yang lambat, aku belanja sup kaki..haha”, Ain memulangkan paku buah keras.

“Salam..ok, insyaAllah =) ”, balas Mira ringkas.

Saya biarkan SMS tersebut terhenti di situ sambil tersengih.

Bicara saya:

Apa yang membezakan kedua SMS itu adalah dari segi bahasanya. Saya menggunakan bahasa yang sedikit kasar kepada Ain, manakala bahasa yang lebih lembut kepada Mira. Kenapa saya berbuat demikian?. Sebenarnya bagi saya, bahasa yang digunakan kepada Ain menunjukkan keakraban dan kemesraan antara kami. Bahasa yang digunakan kepada Mira pula tampak lebih sopan menandakan rasa hormat saya kepadanya. Hal ini tidak bermakna saya tidak menghormati Ain dan bukan juga bermakna saya tidak akrab dengan Mira. Sifat dan keperibadian diri seseorang mempengaruhi cara kita berkomunikasi dan bergaul dengannya. Sifat Ain yang lincah dan suka menyakat membolehkan saya bergurau dengan lebih kasar. Berbeza dengan sifat Mira yang lemah lembut dan ayu, menyebabkan saya lebih berjaga-jaga dalam berbahasa dengannya. Walaubagaimanapun, saya tetap berusaha menjaga perasaan kedua-dua sahabat saya ini  dengan sebaik-baiknya.


Situasi 17: Hulurkan Kemaafan


Petang ini saya dan beberapa rakan pergi ke pasar malam. Sebelum membeli barangan yang diingini, kami terlebih dahulu berjalan-jalan sambil mencuci mata di sepanjang pasar malam itu. Ramai benar pengunjung pasar malam pada ketika ini sehingga kami perlu berhimpit-himpit antara satu sama lain. Puas meronda, kami menuju ke gerai-gerai makanan. Rambang mata melihat aneka juadah yang dijual, maklumlah sehari suntuk kami berlapar gara-gara mahu membeli makanan di pasar  makanan. Saya terus menuju ke gerai nasi lemak kukus memandangkan ada kiriman daripada dua orang sahabat saya yang tidak ikut serta ke pasar malam hari ini. Saya juga ingin membeli makanan yang sama. Gerai tersebut berkonsepkan ‘layan diri’. Oleh sebab itu, saya perlu menceduk sendiri lauk yang diingini ke dalam nasi yang telah siap diisi dalam kertas pembungkus. Peniaga gerai itu hanya akan membungkuskan nasi yang sudah siap diisi lauknya.

“Berapa semuanya kak”, saya bertanya.

“ RM16.50 dik”, peniaga tersebut menjawab.

“Berapa ringgit sebungkus nasi ni kak?”, saya bertanya kembali untuk mendapatkan kepastian. Seingat saya nasi di gerai ini hanya berharga RM4.50 sebungkus. Jika didarabkan dengan tiga jumlah ialah RM13.50.

“RM4.50 sebungkus, tapi dalam bungkusan ni adik ambil dua ketul ayam”, dia memberitahu sambil membuka kembali bungkusan nasi tersebut sebagai bukti.

“Oh yeke, saya tak perasan la kak. Boleh tak akak keluarkan semula seketul ayam tu”, saya mengaku salah.

Peniaga tersebut hanya menganggukkan kepala. Riak mukanya berubah.

Saya menghulurkan bayaran. Kemudian dia memulangkan baki.

“Saya minta maaf ye kak, tak sengaja”, pinta saya dengan nada yang lembut sambil tangan menyambut wang baki yang dihulurkan oleh peniaga tersebut.

Dia hanya menjawab ‘Ok’ tanpa memandang ke wajah saya. Riak wajahnya sedikit tegang. Saya berlalu pergi.

Bicara saya:

Islam sangat menuntu umatnya agar saling bermaafan. Apabila kita melakukan kesilapan atau kesalahan, kita perlu meminta maaf kepada pihak yang berkenaan. Sikap ini dapat mengelakkan konflik yang berlaku daripada terus berpanjangan. Berdasarkan situasi di atas, saya amat terkilan dengan sikap peniaga tersebut. Saya mengakui kesalahan saya walaupun hal tersebut tidak disengajakan. Saya dengan rendah hatinya telah meminta maaf kepadanya tetapi respon yang diberikan sangat mendukacitakan. Riak wajahnya seolah-olah menunjukkan dia seolah-olah tidak ikhlas memaafkan saya. Sepatutnya dia perlu memaniskan wajahnya apabila menerima kata maaf daripada saya.



“…Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali Imran: 134)


12 April 2013

SITUASI 16: Ringankan Mulutmu untuk Menyapa


Pada pagi tadi saya dan beberapa orang rakan telah pergi ke sebuah sekolah di hulu Selangor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Gedangsa. Tujuannya ialah untuk menjalankan soal selidik berkaitan kesantunan berbahasa yang menjadi fokus kajian projek tahun akhir kami. Borang soal selidik merupakan salah satu instrument yang digunakan dalam kajian ini. Kajian ini bertumpu kepada kesantunan bahasa dalam kalangan tingkatan dua.

            Semasa di sana, kami terserempak dengan seorang guru yang kami kenal. Beliau pernah menjadi tutor dalam subjek Wacana Akademik Bahasa Melayu yang kami ambil pada semester 6. Kami teragak-agak untuk menegurnya. Akhirnya kami buat-buat tidak mengenali beliau semasa bertembung dengannya di kantin. Sebelum menjalankan soal selidik tersebut, kami berjumpa dengan pengetua, kemudian pengetua mengarahkan kami supaya berurusan dengan Ketua Bidang Bahasa di sekolah tersebut iaitu En. Rodzi Selamat. Kami sedikit terkejut apabila nama En. Rodzi disebut kerana dia merupakan bekas tutor kami dahulu. Akhirnya kami terpaksa juga bertentang mata dengan beliau.

            En Rodzi meminta kami menunggu beliau di pusat sumber sekolah. Kami akur, dalam masa yang sama kami berasa sedikit gugup untuk bertemu beliau. Setelah beberapa minit menunggu, En. Rodzi muncul dan menyapa kami dengan ramah. Kami berbincang mengenai tujuan kehadiran kami di sekolah itu. Perasaan lega bertamu kerana kami pasti En.Rodzi tidak mengenali kami. Setelah  perbincangan hamper selesai, tiba-tiba En. Rodzi bersuara:

“Saya pernah jumpa kamu sebelum ini?”

Kami diam. Setelah beberapa saat soalan tersebut tergantung tanpa jawapan, akhirnya saya mengaku, “Sebenarnya kami pernah belajar dengan En Rodzi dalam subjek Wacana Akademik Bahasa Melayu semasa di semester enam dahulu”. Teragak-agak saya menyusun bicara.

Saya lihat En. Rodzi tersenyum sinis. “Saya dah agak. Saya tunggu juga kamu semua menegur saya semasa kita terserempak di kantin tadi”.

Kami telan air liur. Perasaan bersalah menghempap diri.

“Kami minta maaflah En. Rodzi, kami segan dan takut nak tegur tadi,” pinta saya sambil tersenyum kambing, menutup rasa malu yang membelenggu diri.

En. Rodzi tergelak kecil sambil berseloroh, “bagus juga kamu buat projek tahun akhir berkaitan kesantunan bahasa ni, nanti kamu boleh mengaplikasikannya kelak”.

Kami terasa terpukul walaupun kami mengetahui kata-kata tersebut diucapkan dengan nada berseloroh.

Bicara saya:

Masyarakat Melayu khususnya kaya dengan budi bahasa. Budi bahasa ini meliputi pelbagai aspek termasuklah semasa bertegur sapa dengan orang lain. Keramahan dalam bertegur sapa tidak kira sama ada orang yang disapa itu dikenali atau tidak akan mewujudkan hubungan sosial yang baik dan akrab. Islam juga amat menggalakkan umatnya bertegur sapa antara satu sama lain. Amalan ini sepatutnya menjadi budaya agar hubungan silatulrahim antara masyarakat itu dapat dijalinkan dan dipereratkan. Bagi situasi di atas, amatlah tidak wajar bagi saya dan rakan-rakan berkelakuan sedemikian sedangkan kami mengenali En. Rodzi, malah beliau pernah menjadi guru kepada kami. 


SITUASI 15: Pilih Kasih


Hari ini saya dan rakan-rakan keluar makan bersama-sama. Bezanya kali ini kami tidak lagi ke kedai makan yang biasa  kami singgah. Kami cuba beralih selera ke kedai yang lain. Saya dan rakan-rakan mengambil tempat duduk masing-masing. Kemudian saya melambai-lambaikan tangan ke arah seorang pelayan yang berada tidak jauh dari tempat yang kami duduk.  Dia buat tidak endah. Saya cuba lagi. Kemudian dia mengangkat tangan mengisyaratkan saya supaya menunggu sekejap. Saya mengalah.

Beberapa orang lelaki masuk ke kedai yang sama. Terkocoh-kocoh si gadis yang bekerja sebagai pelayan di kedai makan itu menghampiri kumpulan lelaki itu untuk mengambil pesanan.

Saya dan beberapa rakan tidak puas hati. Namun, seorang lagi rakan menyabarkan saya. Kami akur. Saya cuba mengawal rasa tidak puas hati yang mulai membengkak. Mata saya tidak lepas daripada memandang tingkahlaku si gadis itu. Tampak tergedik-gedik mengambil pesanan daripada kumpulan lelaki yang jaraknya tiga meja dari tempat kami. Beberapa minit berlalu, saya kemudiannya bersuara:

“Assalamualaikum adik manis, kamu tak nak ambil pesanan kami ke?”, sedikit lantang. Pelanggan yang ada pada ketika itu hanya kami dan kumpulan lelaki tadi.

Si gadis itu tersentak. Mukanya sedikit gelisah apabila dia melihat majikannya sedang memerhatikannya dari kaunter pembayaran. Saya juga tidak sedar kelibat majikannya sebelum itu.  Gadis tersebut tergesa-gesa datang ke  arah kami untuk mengambil pesanan. Wajahnya sedikit pucat. Mungkin takut. Selesai mengambil pesanan kami, dia terus berlalu pergi.

“Kesian kat dia, mesti bos dia marah”, salah seorang rakan saya bersuara.

“Biar jadi pengajaran. Lain kali jangan nak pilih kasih sangat”, saya menjawab.

Makanan dihidangkan. Kami menikmati dengan lafaz syukur.

Bicara saya:

Hal tersebut tidak sepatutnya berlaku. Pelanggan harus diutamakan agar perniagaan tidak merosot. Sikap pilih kasih yang ditunjukkan oleh pelayan tersebut akan menyinggung perasaan pelanggan yang lain. Pelanggan merupakan orang yang penting dalam sesebuah perniagaan. Tanpa pelanggan, sesebuah perniagaan itu tidak akan maju. Sikap begini dapat merencatkan pertumbuhan ekonomi sesebuah perniagaan.


SITUASI 14: Bahasa Halus





Berbual atau ‘berchatting’ di laman muka buku bukanlah menjadi hobi saya  tetapi jika kebosanan melanda diri, saya gagahkan juga jari ini untuk membalas teguran daripada rakan-rakan muka buku ini. Adakalanya juga saya turut menyapa sahabat-sahabat lama dengan ucapan salam untuk bertanya khabar. Baik, gambar di atas merupakan salah satu perbualan saya dengan seorang rakan yang sudah saya anggap seperti kakak sendiri. Kami mula berkenalan apabila kami bekerja di satu tempat kerja yang sama sekitar tahun 2011 dahulu. Kami serasi bersama dan persahabatan itu kekal terjalin walaupun dia sudah mendirikan rumah tangga pada tahun lalu.

Pasti anda tidak memahami kandungan perbualan tersebut. Baik, mari saya terjemahkan:

Aisya Ismail                  : haha…stress la kalau macam tu
                                      Kak zie tak ada isi lagi ke? Hehe
Zaujah Mujahidussalam: yelah…  
                                        Isi nasi ada lah..hehe

Ayat yang saya tebalkan di atas merupakan satu pertanyaan yang lazimnya disoal kepada perempuan yang sudah berkahwin. Ayat itu sama seperti:

            ‘Awak sudah berbadan dua?’
            ‘ Awak sudah mengandung?’

Bicara saya:

Bahasa yang digunakan itu tergolong dalam bahasa halus. Bahasa halus ialah bahasa yang lebih sopan dan manis dan tidak menyinggung perasaan orang yang mendengar atau membaca. Ia juga merupakan penggunaan bahasa yang beradat dan bersopan serta menggunakan segala strategi untuk kemanisan berbicara. Bahasa halus merupakan satu elemen yang turut membantu pembentukan sahsiah yang baik dalam masyarakat Melayu sekaligus  mengekang wujudnya budaya lisan yang biadap. Berikut antara contoh bahasa halus yang lain:


Bahasa kasar
Bahasa halus
Bunting
Berbadan dua, mengandung
Mati
Meninggal dunia, pulang ke Rahmatullah
Orang gaji
Pembantu rumah



SITUASI 13: Bahasa Sindiran


“Baik seperti yang dijanjikan pada minggu lepas, kita akan adakan ‘Open Book Test’ pada hari ini. Soalannya ialah seperti tertera pada papan putih ini. Masa yang diberikan ialah 30minit”, arah Dr Azhar selaku pensyarah  kami.

Masa menjawab tamat. Kertas jawapan diserahkan kepada beliau. Kemudian kelas berakhir setakat itu kerana beliau perlu menghadiri satu mesyuarat di fakulti.
………………………………………………………………….......................
Kelas minggu ini berjalan seperti biasa. Sebelum memulakan pengajaran, Dr Azhar mengulas terlebih dahulu mengenai kertas jawapan yang dihantar oleh kami pada minggu lepas.

“ Mentang-mentanglah saya cakap Open Book Test, kamu salin bulat-bulat jawapan dalam buku itu kan. Cubalah kembangkan idea yang kamu dapat menggunakan bahasa kamu sendiri”, bebel beliau kepada kami.

Semua pelajar dalam kelas itu senyum-senyum kambing.

“Peperiksaan akhir nanti  saya nak cuba buat Open Book Test jugalah. Kamu semua tak perlu bawa pen, cuma bawa gunting dan gam sahaja. Kamu gunting jawapan tersbut dan tampal dalam kertas jawapan yang disediakan”, kata Dr Azhar separuh menyindir.

“Bagus juga cadangan Dr tu”, satu suara nakal menyampuk.

Dr Azhar hanya menggeleng sambil tersenyum. Kemudian dia meneruskan pengajarannya.

Bicara saya:

Kedengaran agak kelakar cadangan pensyarah tersebut tetapi ia sebenarnya mempunyai satu sindiran halus kepada kami. Teguran yang diberikan itu tidak disebutkan secara langsung, hanya dikias-kiaskan kepada perkara lain. Tujuannya agar teguran itu terkesan di hati pendengar dengan cara yang lebih lembut. Sebagai seorang pelajar, kita haruslah memahami mesej yang ingin disampaikan dalam teguran tersebut dan berusaha agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.